|
Jawapan Dan Bantahan Berkenaan
Perbincangan Bidaah Yang Melibatkan Pembacaan Yasin Pada
Malam Jumaat Dan Sebagainya - Majalah Cermin Keluaran April
2004, Jilid 73, Terbitan Mohd Khairune S/B
Muqaddimah
Masalah
pembahagian bidaah merupakan satu perbincangan yang amat
penting di dalam Islam. Umumnya, rata-rata masyarakat kini
memandang pembahagian atau perbincangan berkenaan bidaah
adalah cuma satu masalah furu', tidak perlu diperbincangkan
lagi.
Namun pada
hakikatnya, dosa melakukan bidaah adalah lebih berat
berbanding dosa-dosa besar seperti mencuri, membunuh dan
minum arak. Ini kerana dosa bidaah senantiasa berpaut erat
dengan melibatkan iktiqad seseorang. Bahkan ada dosa bidaah
yang secara langsung disertai dosa syirik. Firman Allah
s.w.t.:
"Andaikata kamu berlaku syirik maka hancurlah segala
amalanmu"
-Surah
Az-Zumar ayat 65.
Sufyan
ats-Tsauri telah berkata :
"Bidaah itu
lebih disukai iblis daripada kemaksiatan, pelaku maksiat
masih ingin bertaubat dari kemaksiatannya, sedangkan pelaku
bidaah tidak ada keinginan untuk bertaubat dari
kebidaahannya."
Ini adalah
kerana pembuat bidaah merasakan perbuatannya baik, dan
dengan perbuatan bidaah itu dia bermaksud untuk mendekatkan
diri kepada Allah s.w.t.. Oleh kerana itu pelaku bidaah
tidak pernah terfikir untuk bertaubat kepada Allah dari
perbuatannya bahkan dengan kebidaahannya dia mengharapkan
pahala. Firman Allah s.w.t. :
"Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik
pekerjaannya yang buruk dia meyakini pekerjaannya itu baik,
(sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan?"
-Surah
Faathir ayat 8.
Dengan kata
lain, perbincangan bidaah adalah satu perkara yang
seharusnya dipandang berat oleh seluruh umat Islam. Para
ulama' secara khusus seharusnya memikul tanggungjawab
memperbincangkan masalah ini dengan jelas menurut
pertimbangan al-Quran dan as-Sunnah, bukan akal semata-mata.
Maksud Bidaah Dari Segi Bahasa
Bidaah dari
bahasa Arab bererti sesuatu yang tidak ada permulaan.
Sebagaimana firman Allah s.w.t. :
"Katakanlah (Hai Muhammad): Tidaklah aku bid'an (yang
terawal) dari rasul-rasul"
-Surah Al-Ahqaf
ayat 9.
Begitu juga
perkataan bidaah diambil dari sifat Allah s.w.t. :
"(Allah)(badi'u) yang mencipta bumi dan langit"
-Surah Al-Baqarah
ayat 117.
Ertinya Allah
s.w.t. telah mengadakan (mencipta) bumi dan langit yang
tidak wujud sebelum penciptaanya.
Kesimpulannya,
dari sudut bahasa bidaah ialah sesuatu yang baru yang tidak
ada contohnya dari masa yang lepas .
Maksud Bidaah Dari Segi Syarak
Maksud bidaah
yang paling tepat dari segi syarak ialah satu perkara yang
direkai dalam agama yang seakan-akan menyamai atau
menyerupai hukum syarak yang bertujuan untuk pengabdian
(menghampirkan diri) kepada Allah tetapi tanpa mempunyai
sebarang dalil syarak yang sahih terhadap kesahihan
perbuatan tersebut sama ada dari segi asal atau pun
keterangan (istinbat) syarak dari dalil-dalil tersebut .
Perhatikan
bahawa definisi bidaah merangkumi tiga fakta penting :-
1) Rekaan
baru dalam agama yang menyerupai syarak
2) Bertujuan menghampirkan diri pada Allah s.w.t.
3) Tidak mempunyai dalil yang sahih atau contoh yang sahih
berkenaan perbuatan tersebut.
Definisi oleh
Imam as-Syatibi ini merupakan definisi yang paling tepat,
kerana ia menjadikan bidaah sebagai lawan kepada Sunnah dan
dengan itu kesemua bidaah adalah ditegah, sesat dan
menyesatkan. Ini disokong kuat oleh hadis nabi s.a.w. :
"Setiap bidaah adalah sesat"
-Riwayat Imam
Muslim.
Kekeliruan
Bidaah
terbahagi kepada dua. Pertama, bidaah yang baik atau bidaah
hasanah. Kedua, bidaah yang tidak baik atau dolalah. Membaca
Yaasin pada malam Jumaat di masjid-masjid dan surau-surau
termasuk dalam bidaah hasanah. Jadi, tidak salah untuk
melakukannya.
Jawapan Dan Bantahan Penulis
Wujudkah
Bidaah Hasanah Di Dalam Syarak?
Allah s.w.t.
telah berfirman :-
"Setiap jiwa akan merasai kematian"
-Surah Ali-Imraan
ayat 185.
Dengan begitu
mudah sekali dapat kita fahami, bahawa perkataan setiap
(kullu) di dalam ayat di atas tidak membawa maksud lain,
kecuali kesemuanya tanpa sebarang pengecualian. Setiap jiwa
dan dan yang bernyawa, samada manusia, haiwan, tumbuhan,
malaikat ataupun jin, pasti akan merasai kematian. Tiada
sebarang peselisihan atau salah faham terhadap ayat di atas.
Begitu juga
dengan hadis nabi s.a.w. :
"Setiap bayi dilahirkan di atas fitrah (bersih lagi suci)"
-Riwayat Imam
Bukhari dan Muslim.
Tidak
dinafikan lagi, ayat di atas amat jelas sekali. Setiap bayi
yang lahir ke dunia ini, tanpa mengira bangsa, bahasa atau
agama anutan ibundanya, adalah dilahirkan suci dan bersih,
tanpa sebarang pengecualian.
Maka dengan
ini, dengan kaedah dan kefahaman yang sama, dapatlah kita
fahami dengan mudah hadis nabi s.a.w. :
"Setiap bidaah adalah sesat, dan setiap kesesatan adalah
neraka (tempatnya)"
-Riwayat Imam
Muslim.
Jelas, tidak
wujud sebarang bidaah hasanah (bidaah yang baik) di dalam
syarak. Sebagaimana ayat dan hadis sebelumnya diertikan
tanpa sebarang pengecualian, begitulah juga halnya dengan
hadis di atas. Kesemua bentuk bidaah adalah sesat !
Sudah diakui
oleh para ulama tanah air bahawa Yasin pada malam Jumaat
adalah bidaah hasanah, manakala telah dinyatakan dengan
dalil yang sahih di atas, bahawa tidak ada bidaah hasanah di
dalam perkara ibadah. Maka dengan sendirinya persoalan
tersebut terjawab.
Sebagai
tambahan, menetapkan sesuatu amalan atau ibadat secara
khusus pada malam Jumaat sahaja, adalah juga merupakan suatu
larangan yang terang daripada nabi s.a.w. sebagai mana di
dalam hadis baginda :
"Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan Qiyam
daripada malam-malam yang lain"
-Riwayat Imam
Muslim.
Qiyam yang
dimaksudkan di atas boleh kita ertikan dengan sebarang jenis
ibadah, samada ianya solat, berpuasa, berzikir mahupun
membaca al-Quran. Ini merupakan larangan yang jelas, dan
kita selaku umat Islam dilarang keras mengingkari larangan
baginda s.a.w.
Firman Allah
s.w.t.,
"Pada hari ini telah aku sempurnakan agama kamu"
- Surah Al-Maidah
ayat
Telah Allah s.w.t. janjikan di dalam ayat di atas bahawa
agama kita, Islam telah pun lengkap dan sempurna, tidak lagi
memerlukan kepada sebarang penambahan atau tokok-tambah
Kekeliruan
Apakah
sesuatu yang tidak dilakukan nabi itu tidak boleh dilakukan
umat Islam? Padahal menurut kaedah fikah, apa yang
disepakati baik oleh umat Islam maka ianya baik dan boleh
dilakukan. Contohnya Yasin pada malam Jumaat dan sambutan
Maulidurrasul yang telah diterima sebagai sesuatu yang baik
oleh umat Islam. Jadi, kalau ia tidak dilakukan, ia menjadi
tidak elok pula.
Jawapan Dan Bantahan Penulis
Pertama
sekali, kata Imam as-Syafie di dalam kitabnya ar-Risalah,
"Ibadah adalah amrun tauqifi (arahan yang terhenti). Segala
jenis ibadah pada asalnya adalah dilarang, kecuali apa yang
disuruh oleh nas yang sahih".
Oleh itu,
berdasarkan kaedah di atas, memang tepat sekali jika
dikatakan, di dalam perkara yang bersangkutan dengan ibadah,
sesuatu yang tidak dilakukan oleh nabi s.a.w. tidak boleh
(haram) dilakukan oleh umat Islam.
Kedua,
terdapat pertikaian terhadap asal kaedah fikah yang
digunakan di atas. Kaedah ini sebenarnya berasal dari sebuah
hadis :
"Apa yang dipandang oleh al-Muslimun (umat Islam) baik, maka
ia adalah di sisi Allah baik"
Menggunakan
hadith ini sebagai dalil adalah lemah, kerana :
1) Syeikh
Muhammad Nasiruddin al-Albani telah membuktikan bahawa ia
sebenarnya bukanlah kata-kata baginda yang sahih, sebaliknya
hanya kata-kata sahabat baginda Abdullah Ibnu Mas'ud. Dengan
sebab ianya hadis mauquf (perkataan sahabat), maka tidak
boleh berhujah dengannya kerana ia berlawan dengan hadis
nabi s.a.w. yang sahih dari perkataan baginda s.a.w.,
"kesemua bidaah adalah sesat".
2) Jika
diteliti lafaz hadis dengan keratan yang lebih awal dari
keratan di atas, ia menyebut "hati-hati para sahabat adalah
sebaik-baik hati hamba abdi (kepada Allah) maka dijadikan
mereka para menteri nabi-Nya….". Oleh itu, al-Muslimun yang
dimaksudkan di sini adalah sebenarnya para sahabat.
3) Tidak adil
diertikan al-Muslimun di atas dengan seluruh umat Islam,
setiap individu muslim, kerana mereka yang nyata-nyata jahil
tidak berhak untuk mengeluarkan pandangan dalam agama
(ijtihad).
4) Terdapat
banyak kenyataan dari Ibnu Mas'ud sendiri yang menyangkal
hadis ini, contohnya perkataannya yang sahih yang
diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani :
"Ikutilah dan janganlah kamu mereka-rekakan bidaah (perkara
baru) sesungguhnya telah mencukupi bagi kamu (al-Quran dan
as-Sunnah)".
Tambahan
pula, pendapat orang ramai tidak boleh dijadikan hujah dan
dalil syarak. Firman Allah s.w.t. :
"Dan andaikata engkau mentaati kebanyakan manusia di muka
bumi, mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah."
-Surah al-An'am
ayat 116.
Dengan kata
lain, menghukumkan setiap perkara yang dilakukan orang ramai
adalah betul, maka itu adalah salah.
Ketiga,
amalan sambutan hari kelahiran baginda s.a.w. juga merupakan
satu rekaan atau bidaah yang terang. Tidak ada sebarang
hadis ataupun riwayat daripada para sahabat bahawa mereka
pernah menyambut dan meraikan hari tersebut, sedangkan jelas
bahawa cinta dan kasih sayang mereka terhadap baginda s.a.w.
adalah lebih hebat lagi berbanding kita.
Sebenarnya
idea menyambut hari kelahiran orang-orang penting seperti
para nabi merupakan satu ciptaan orang-orang Kristian.
Sebagaimana kita sedia maklum, mereka menyambut Krismas
(Christ = al-Masih yakni Isa, Mas = besar-besaran ) kononnya
mengingati kelahiran nabi Isa a.s.
Di dalam
sebuah hadis baginda s.a.w. bersabda :
"Jangan kamu semua mengagungkan aku, sebagaimana orang-orang
Nasrani (Kristian) mengagung-agungkan anak Maryam (Isa a.s.).
Sesungguhnya aku hamba Allah, maka katakanlah aku hamba
Allah dan rasul-Nya"
-Riwayat Imam
Bukhari dan Muslim.
Kita dilarang
pula menyerupai orang-orang kafir :
"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah
dari kalangan mereka (tergolong dengan mereka)"
-Riwayat Imam Bukhari
Syeikhul
Islam Ibnu Taymiyah telah membahas tentang sambutan seperti
Maulidur Rasul ini dengan panjang lebar, di mana beliau
mengutuk majlis dan festival rekaan ini yang mana tidak ada
asalnya dari syariat yang asli.
Dengan ini,
dapatlah dibuktikan bahawa fakta yang diberikan nyata-nyata
bercanggah dengan riwayat baginda s.a.w. dan para sahabat
yang sahih.
Kekeliruan
Arab Saudi
berpegang kepada fahaman Wahhabi. Mereka memang sudah
sentiasa membaca al-Quran bukan sahaja setakat Yasin, malah
seluruh al-Quran. Amalan yang dilakukan oleh orang Arab itu
sesuai dengan suasana di dalam masyarakat mereka, manakala
tidak sesuai dengan masyarakat kita. Orang Arab, walaupun
tidak membaca Yasin pada malam Jumaat, tetapi mereka tidak
meninggalkan amalan membaca al-Quran.
Jawapan
Dan Bantahan Penulis
Pertama
sekali, Wahhabi yang dikatakan sebagai satu fahaman itu
sebenarnya bukanlah seperti yang didakwa. Perlembagaan Arab
Saudi ada tercatat bahawa mereka bermazhab Hanbali yang
diasaskan oleh Imam Ahmad ibnu Hanbal, anak murid kepada
imam mazhab kita, Imam as-Syafie, begitu juga dengan
masyarakat di sana termasuklah para imam di Masjidil Haram.
Pada
hakikatnya perkataan Wahhabi di ambil dari nama ulama yang
memimpin gerakan ini, iaitu Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Gerakan ini bertujuan untuk memulihkan kemurniaan aqidah di
Mekah dan Madinah, setelah banyak dipengaruhi unsure-unsur
syirik dan amalan khurafat. Beliau sendiri juga bermazhab
Hanbali.
Adalah amat
tidak adil sekali jika mereka yang mengikuti gerakan ini
secara langsung terus dituduh sebagai fahaman Wahhabi, tanpa
sebarang sokongan yang bersifat ilmiah. Para pembaca
dinasihatkan agar mengkaji dengan lebih mendalam tentang
ulama ini, sebelum menghukumkan beliau membawa satu fahaman
baru yang kononnya tidak sesuai diamalkan di sini. Rujuk
juga kepada kitab-kitab karangannya, terutamannya Kitab at-Tauhid
yang padat dengan sokongan ayat-ayat al-Quran dan
hadis-hadis yang sahih.
Kedua,
bukankah sejak di bangku sekolah rendah lagi, telah
diterapkan bahawa Islam agama sarwajagat, atau sesuai
diamalkan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa sahaja?
Tidak dapat dinafikan lagi, bahawa kita diutuskan dengan
satu nabi yang sama dan satu nabi sahaja untuk kita ikuti,
iaitulah nabi Muhammmad s.a.w. Wahyu yang diturunkan pula
kepada baginda s.a.w. juga hanyalah dari Allah.
Jadi, mengapa
pula ada yang dikatakan tidak sesuai di Malaysia, dan ada
pula yang sesuai? Tambahan pula, masalah bidaah yang
diperbincangkan berkait rapat dengan masalah ibadat.
Mengikut kaedah :
"Tidak ada khilaf (perselisihan) di dalam ibadah"
Benar sekali
kata nabi s.a.w. di dalam hadis baginda :
"Demi Yang Memegang jiwa Muhammad di tangan-Nya, akan
berpuak-puak umatku sebanyak 73 puak, satu puak akan masuk
syurga dan 72 puak lainnya akan masuk neraka. Para sahabat
bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah? Nabi menjawab :
Al-Jamaah."
-Riwayat Imam
al-Thabrani.
Di dalam
riwayat yang lain :
Sahabat bertanya : Siapakah mereka (puak yang selamat itu)
ya Rasulullah? Baginda menjawab : Yang satu itu ialah mereka
yang berpegang dengan peganganku dan pegangan
sahabat-sahabatku."
-Riwayat Imam
Tirmizi.
Jelas di sini,
Islam secara hakiki dan sebetulnya hanyalah satu, iaitu
sesiapa yang berpegang kuat kepada sunnah nabi s.a.w. Dengan
ini, kita disuruh mendengar semua pendapat, tanpa mengira
sesiapa, dan mengikuti pendapat yang paling kuat berpegang
kepada al-Quran dan as-Sunnah. Dengan kata lain, cuma akan
ada satu pendapat yang paling tepat. Firman Allah s.w.t. :
"Maka sampaikanlah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang
mendengar semua pendapat, kemudian mengikuti yang terbaik (dari
kalangan pendapat tersebut). Mereka itulah orang-orang yang
telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang
yang berakal."
-Surah
Az-Zumar ayat 17 dan 18.
Begitu juga
Ashab berkata bahawa Imam Malik ditanya tentang orang yang
mengambil sebuah hadis kerana tsiqah dari para sahabat
Rasulullah s.a.w. :
"Apakah
engkau melihat bahawa di dalam perselisihan ada kelapangan?"
Beliau berkata, "Tidak, demi Allah, sehingga yang hak itu
benar. Yang hak itu adalah satu. Adakah dua perkataan yang
berlawanan itu benar semuanya?! Yang hak dan benar itu
adalah satu. "
Dapat
disimpulkan di sini bahawa tiada istilah 'sesuai' atau 'tidak
sesuai di dalam perkara ibadah.
Kekeliruan
Masyarakat
kita pula kurang membaca al-Quran. Jika amalan membaca Yasin
pada malam Jumaat dihentikan, dibimbangi kita tidak membaca
al-Quran langsung. Ada baiknya membaca Yasin pada malam
Jumaat.
Jawapan
Dan Bantahan Penulis
Sudah saya
bawakan dalil yang jelas dan sahih daripada nabi s.a.w.
bahawa baginda melarang menetapkan sesuatu amalan khusus
pada malam Jumaat. Menurut kaedah usul fikah :
"Niat yang baik tidak membolehkan perkara yang haram"
Membaca Yasin
pada malam Jumaat bukan sahaja tidak ada dalilnya dari nabi
s.a.w. malahan terdapat larangan yang jelas. Meskipun
niatnya baik iaitu untuk menggalakkan bacaan al-Quran, namun
itu tidak memansuhkan larangan muktamad dari nabi s.a.w.
Jika sikap
orang-orang Islam di Malaysia yang tidak rajin membaca al-Quran,
maka sikap mereka yang harus dan wajib diubah, bukannya
syariat. Di dalam semua hal yang berkaitan ibadah, sikap
seseoranglah yang harus diubah dan disesuaikan dengan
syariat, bukan syariat yang harus diubah untuk disesuaikan
dengan sikap seseorang.
Kekeliruan
"Barang
siapa yang membuat perbuatan baru di dalam agama kami, maka
ia adalah ditolak"
Untuk
menghuraikan perkara itu, setiap umat Islam perlu bersikap
terbuka. Di dalam fikah, terdapat ibadat, muamalat,
munakahat dan jenayah. Oleh kerana itu, kita perlu melihat
perkara ini dalam konteks yang lebih luas. Adakah perkara
yang menjadi pertelingkahan itu termasuk di dalam ibadat
syariat atau tidak, terdapat di dalam hadis tasrie atau
tidak. Dengan itu barulah kita boleh faham dengan jelas,
apakah perkara itu termasuk di dalam bidaah yang dibolehkan
atau tidak.
Sebagai
contoh, setiap hari apabila bangun dari tidur, Rasulullah
s.a.w. memberikan salam kepada 9 orang isterinya. Adakah
perkara itu termasuk di dalam sunnah yang wajib diikuti?
Selain itu, Nabi mula-mula berkahwin dulu, dia berkahwin
dengan janda. Adakah itu juga menjadi sunnah yang wajib
diikuti?
Samalah
juga dengan naik unta dan menulis di atas batu. Walaupun
Rasulullah s.a.w. dulu naik unta dan menulis di atas batu,
umat Islam kini boleh menggantikan unta dengan kenderaan
lain dan boleh menulis dengan menggunakan komputer.
Jikalau
bidaah yang dibuat itu melampaui batas, contohnya menambah
bilangan rakaat di dalam solat fardhu, maka itu barulah
dikatakan salah.
Jelaslah
kepada kita, umat Islam yang melakukan amalan-amalan bidaah
hasanah, tidak perlu dihalang.
Jawapan
Dan Bantahan Penulis
Dengan
merujuk kepada kenyataan diatas, dengan jelas sekali boleh
kita dapati betapa kelirunya kenyataan tersebut.
Kekeliruan
pertama yang jelas dan dapat diperhatikan di sini ialah
kekeliruan beliau berkenaan perbezaan antara bidaah dari
segi bahasa dan bidaah dari segi syarak. Para pembaca
bolehlah merujuk perkara ini di awal jawapan kami ini.
Kekeliruan
kedua ialah pengklasifikasian terhadap perkara yang
bersangkutan ibadah atau bukan ibadah.
Pada
hakikatnya, Rasulullah s.a.w. juga memiliki sifat sebagai
manusia dan sekali-kali tidak akan keluar dari darjat
kemanusiaan ini. Firman Allah s.w.t. :
"Katakanlah (hai Muhammad) : Bahawa sesungguhnya aku adalah
manusia seperti kamu semua, yang telah diturunkan wahyu
kepadaku"
-Surah
al-Kahfi ayat 110.
Maka dapat
kita katakan sifat baginda Rasulullah s.a.w. dapat
dibahagikan kepada dua, iaitu :
1) Sifat
baginda sebagai seorang rasul.
2) Sifat baginda sebagai seorang manusia biasa.
Oleh sebab
itu segala sebutan dan perbuatan baginda yang bersangkutan
dengan wahyu ataupun yang merupakan penjelasan berkenaan
perkara agama, maka ia adalah menjadi hujah atau dalil yang
wajib diikuti oleh seluruh manusia.
Adapun segala
sebutan dan perbuatan baginda yang tidak bersangkutan dengan
hal ibadat, iaitu hal keduniaan, maka ia bukanlah suatu
hujah, boleh diterima dan ditolak sebagaimana pendapat
manusia yang lain.
Dibawakan di
sini sebagai dalil dari hadis nabi s.a.w. ketika beliau
menjawab tentang kesalahan pendapat beliau berkenaan
mengahwinkan pohon tamar jantan dengan pohon tamar betina :
"Sesungguhnya aku adalah seorang manusia. Sekiranya sesuatu
perkara itu berkenaan agamamu, maka kepadaku (kamu merujuk).
Dan sekiranya ia adalah perkara keduniaanmu maka aku adalah
seorang manusia, kamu lebih mengetahui tentang duniamu."
-Riwayat Imam
Muslim.
Jelas di sini, perkara keduniaan seperti kenderaan dan
komputer tidaklah boleh diklasifikasikan sebagai bidaah,
lebih-lebih lagi dikatakan sebagai bidaah hasanah. Perkara
ini pada hakikatnya adalah merupakan suatu perbincangan yang
dikenali sebagai masalih mursalah, iaitu kemaslahatan orang
ramai dalam memudahkan kehidupan seharian. Sekalipun
dikatakan bidaah, ia hanyalah sekadar bidaah dari segi
bahasa sahaja, kerana ia tidak mempunyai contoh dari nabi
s.a.w.
Namun ingin
ditegaskan di sini, bahawa perbincangan tentang bacaan Yasin
tidak termasuk di dalam perkara keduniaan, kerana kita semua
sudah mengetahui bahawa mambaca al-Quran, termasuklah surah
Yasin, adalah merupakan suatu bentuk ibadah yang dusuruh
oleh nabi s.a.w. Bagaimana bab kenderaan (keduniaan) dan bab
membaca Yasin (ibadah) diklasifikasikan di dalam satu
pengkelasan yang sama, sedang hadis nabi s.a.w. dengan jelas
membezakan antara bab keduniaan dan bab ibadah?
Bagaimana
pula kenyataan di atas membolehkan bacaan Yasin (bab ibadah)
tetapi di dalam masa yang sama melarang menambah rakaat di
dalam solat (juga bab ibadah)?
Di sini,
ingin diperbetulkan juga tentang kenyataan bahawa umat Islam
yang melakukan amalan-amalan 'bidaah hasanah' tidak perlu
dihalang. Di dalam perbincangan-perbincangan di atas, jelas
bahawa tiada bidaah yang diizinkan di dalam syarak. Maka
mencegah perbuatan ini adalah wajib. Sedang Allah s.w.t.
sendiri menahan amalan pembuat bidaah :
"Sesungguhnya
Allah menyekat (atau menahan) taubat pembuat setiap amalan
bidaah"
-Riwayat Imam
at-Thabrani, al-Baihaqi, al-Harawi dan lain-lain .
Begitu juga
dengan hadis dari Aisyah r.a. :
"Sesiapa yang mendatangi orang yang membuat bidaah dengan
tujuan untuk menghormatinya maka sesungguhnya ia telah
membantu untuk menghancurkan Islam"
-Riwayat Ibnu
Waddhah dan lain-lain .
Dari Ibnu Wahb sahabat Imam Malik, beliau telah berkata :
"Berjimat dalam as-Sunnah adalah lebih baik dari
bersungguh-sungguh dalam bidaah "
Dari Yahya Ibnu Mu'az ar-Razi telah berkata :
"Perselisihan manusia kesemuanya kembali kepada tiga usul,
setiap satu mempunyai lawannya yang bertentangan. Sesiapa
yang gugur dari berpegang dengannya maka ia jatuh ke dalam
lawannya; iaitu tauhid lawannya syirik, as-Sunnah lawannya
bidaah, dan taat lawannya maksiat "
Kekeliruan
Selain
itu, turut disentuh juga tentang amalan membaca talkin dan
membaca al-Quran di atas kubur yang tidak dilakukan oleh
nabi, tetapi turut termasuk dalam bidaah hasanah.
Membaca
talkin dan al-Quran di atas kubur
walaupun tidak dilakukan oleh nabi, tetapi dilakukan oleh
sahabat. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud: "Kamu hendaklah ikut sunnahku dan
sunnah sahabatku." Berdasarkan hadis itu, nyatalah kepada
kita bahawa membaca talkin dan al-Quran di atas kubur itu
tidak salah dilakukan kerana ia dilakukan oleh sahabat
Rasulullah s.a.w. sendiri.
Jawapan
Dan Bantahan Penulis
Kami amat
bersetuju dengan hadis yang disampaikan di atas. Namun
begitu, kenyataan tersebut telah gagal membawakan dalil yang
mengatakan para sahabat telah mengamalkan bacaan al-Quran di
atas kubur.
Kata Syeikh
al-Islam Ibnu Taimiyah :
"Andaikata
sesuatu dakwaan tidak memerlukan bukti, maka hancurlah
neraca kebenaran."
Sedangkan di
dalam hadis baginda s.a.w., dengan sahih dan jelas baginda
bukan sahaja melarang keras umatnya untuk membaca al-Quran
di atas kubur, malahan baginda langsung melarang untuk duduk
di atasnya.
"Janganlah kamu shalat dengan menghadap kubur, dan janganlah
kamu duduk di atasnya"
-Riwayat Imam
Muslim, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah.
Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah duduk di atas kubur
dan membaca al-Quran bagi umatnya yang telah mati.
Persoalannya, adakah baginda s.a.w. tidak mengasihi umatnya?
Adakah baginda tidak mahu umatnya umatnya menerima rahmat
sesudah mati? Jawapannya, sudah tentu tidak. Firman Allah
s.w.t. :
"Dia (Muhammad s.a.w.) sangat menginginkan keselamatan bagi
kamu (agar dibimbing Allah, agar bertaubat kepada Allah, dan
merayu kepada Allah agar mengampunkan dosa kamu, agar kamu
dapat memasuki syurga dan selmat dari neraka) dan dengan
orang-orang mukmin dia sangat pengasih dan penyayang."
-Surah
at-Taubah ayat 128.
Berdasarkan
ayat di atas, jelas bahawa baginda adalah seorang yang amat
menyayangi umatnya, walaupun setelah mati. Namun mengapa
baginda tidak duduk membaca al-Quran di kubur umatnya yang
telah mati di zamannya?
Inilah yang
dinamakan dengan sunnah tarkiah (peninggalan), iaitu
meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah, dan membuat
perbuatan tersebut adalah bidaah.
Ingin juga
diketengahkan di sini pandangan Imam Mazhab kita sendiri,
iaitu Imam Syafie, yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir
ketika beliau memberi tafsiran berkenaan ayat 39 dari surah
An-Najm :
"Dan tidak adalah sesuatu apapun bagi seorang insan
melainkan apa yang telah diusahakannya (ketika hidup)"
Kata al-Hafiz
Ibnu Katsir : "Sebagaimana tidak memikul seseorang ke
atasnya tanggungan (dosa) orang lain, sebegitulah pahala
(orang hidup ke si mati) melainkan apa yang dia usahakan
olehnya untuk dirinya sendiri, dan dari ayat mulia ini telah
beristinbat (mengeluarkan pendapat) as-Syafie rahimahullah
dan para pengikutnya, bahawasanya bacaan al-Quran tidak
sampai pahala bacaannya kepada si mati, kerana ia bukanlah
dari amalan mereka dan bukan juga usaha mereka dan dengan
ini Rasulullah s.a.w. tidak menyuruh umatnya dan tidak
menyeru kepadanya dan tidak pula membimbing kepadanya
(amalan ini) dengan satu nas pun, dan tidak ada dinukilkan
tentang perkara ini walau satu pun daripada para sahabat
r.a., dan andaikata perkara ini baik, maka kami dahulu yang
mengamalkannya."
Jelas,
jangankan duduk di atas kubur sebagaimana yang dilarang nabi
s.a.w., malahan membaca al-Quran dengan niat disedekahkan
kepada si mati pun tidak pernah langsung dilakukan oleh para
sahabat baginda s.a.w.
Kekeliruan
Imam
Hambali sendiri pernah marah kepada umat Islam yang membaca
talkin dan al-Quran di atas kubur. Bagaimanapun, apabila ada
umat Islam menjelaskan kepada beliau yang perbuatan itu
turut di lakukan oleh sahabat Rasulullah s.a.w., Imam
Hambali terus membetulkan semula ijtihadnya dan tidak lagi
melarang umat Islam melakukan amalan itu.
Jawapan Dan Bantahan Penulis
Kenyataan
tersebut gagal membawakan sebarang bukti dari mana-mana
kitab karangan Imam Ahmad bin Hanbal sendiri, atau dari
kenyataan para ulama muktabar yang lain. Apa yang ada
hanyalah dakwaan yang kosong tanpa sebarang bukti. Kami
dengan tegas menyuarakan, bawakanlah bukti-bukti atas setiap
dakwaan, kerana hanya dengan bukti sesuatu kebenaran dapat
diukur, bukan dengan hanya dakwaan kosong semata-mata.
Sekalipun
jika terbukti bahawa Imam Ahmad bin Hanbal benar-benar
pernah berkata demikian, ini tidak boleh terus di ambil
sebagai hujah dalam menghalalkan sesuatu ibadah.
Pandangan-pandangan para ulama muktabar yang lain, selain
dari Imam Ahmad dan dalil yang digunakan oleh Imam Ahmad itu
sendiri juga harus diambil kira. Seperti yang telah
dinyatakan di atas, adalah amat baik bagi kita andai kita
mendengar kesemua pendapat terlebih dahulu, kemudian memilih
yang terbaik sebelum mengamalkan sesuatu amalan. Pendapat
mana yang paling kuat disokong oleh nas-nas yang sahih, maka
itulah pendapat yang terbaik.
Malahan, Imam
Ahmad sendiri juga tidak menyuruh atau mewajibkan kita terus
mengambil pendapat beliau, sebaliknya hujah beliau berkenaan
sesuatu pendapat harus diambil kira. Kata Imam Ahmad bin
Hanbal :
1) "Janganlah
engkau mengikuti aku dan jangan pula engkau mengikuti Malik,
Syafi'I, Auza'I dan Tsauri, tapi ambillah dari mana mereka
mengambil "
2) "Pendapat
Auza'I, pendapat Malik dan pendapat Abu Hanifah semuanya
adalah pendapat, dan ia bagiku adalah sama, sedangkan alasan
hanyalah terdapat di dalam atsar-atsar "
3) "Barang
siapa yang menolak hadis Rsulullah s.a.w., maka sesungguhnya
ia telah berada di tepi kehancuran "
Syeikh
Muhammad Nasiruddin al-Albani berkata ketika memberi komen
terhadap perkataan para imam seperti kata-kata Imam Ahmad di
atas :
"Itulah
perkataan para imam di dalam memerintahkan untuk berpegang
kepada hadis nabi dan melarang mengikuti mereka tanpa adanya
penelitian. Perkataan-perkataan itu cukup jelas, sehingga
tidak boleh didebat dan ditakwilkan lagi. Kemudian, barang
siapa yang berpegang kepada setiap apa yang telah ditetapkan
di dalam sunnah, walaupun bertentangan dengan perkataan para
imam, sebenarnya tidaklah ia bertentangan dengan mazhab
mereka dan tidak pula keluar dari jalan mereka. Bahkan ia
mengikuti mereka dan berpegang kuat kepada ikatan kuat yang
tidak dapat ditanggalkan. Sebaliknya, tidaklah demikian,
barangsiapa meninggalkan sunnah yang telah ditetapkan hanya
kerana bertentangan dengan perkataan mereka (para imam
mazhab), maka maka mereka sesungguhnya telah menyalahi dan
bertentangan dengan perkataan-perkataan para imam tersebut.
Allah berfirman :
"Maka demi
Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu
hakim terhadap perkataan yang mereka perselisihkan, kemudian
mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan
terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima
dengan sepenuhnya"
-Surah
an-Nisa ayat 65.
Juga
firman-Nya :
"Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahNya takut
akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih"
-Surah an-Nur
ayat 63.
Oleh sebab
itu, boleh kita katakana di sini bahawa walau sekalipun
benar Imam Ahmad pernah berkata demikian, maka pendapatnya
haruslah dinilai semula kerana ia benar-benar bercanggah
dengan hadis nabi s.a.w. berkenaan duduk di atas kubur dan
juga pandangan Imam as-Syafie yang disokong kuat oleh ayat
39 dari surah an-Najm (rujuk perbincangan di atas).
Kekeliruan
Kita
sepatutnya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain
yang lebih penting bukan sahaja mengenai ibadat, tetapi juga
muamalat, munakahat dan jenayah. Dengan itu, barulah umat
Islam akan maju dan fikah tidak akan menjadi jumud.
Jawapan
Dan Bantahan Penulis
Kami di sini
benar-benar mengakui bahawa perkara berkenaan bidaah ini
telah jelas, dengan sokongan nas-nas sahih yang kami
kemukakan di atas.
Bahkan di
antara empat bab fikah yang dinyatakan, tidak dinafikan
bahawa bab ibadah yang paling penting. Ini dapat dibuktikan
dengan ikrar dan penyaksian kita di dalam kalimah syahadah
kedua atau juga dikenali sebagai syahadah ibadah :
"Aku naik saksi bahawa Muhammad pesuruh Allah"
Jadi,
andaikata kita berikrar bahawa nabi Muhammad s.a.w. itu
pesuruh Allah, contoh ikutan kita, terutama di dalam bab
keagamaan, bukankah mengamalkan ibadah yang tidak pernah
ditunjukkan contohnya oleh nabi s.a.w. itu seolah-olah
mengingkari ikrar kita sendiri? Masihkah kita layak menjadi
saksi yang sah di sisi Allah?
Perkara ini
tidaklah boleh dipandang remeh, tidak cukup diperbincangkan
dengan akal dan sokongan nas-nas yang teramat kurang atau
lemah. Setelah aqidah dan ibadah kita diperkuatkan dan
dimantapkan dengan nas-nas yang kuat, tanpa sebarang
ragu-ragu lagi, barulah perbincangan kita dialihkan ke
bab-bab yang lain.
Kesimpulan
Setiap
perbincangan haruslah dirujuk kepada ahlinya yang
benar-benar mengetahui. Samalah juga dengan perkara ini.
Para pembaca dinasihatkan agar merujuk kepada mereka yang
benar-benar alim di dalam hal ini. Kami juga menasihati para
pembaca agar mengukur seseorang berdasarkan tahap ilmu yang
ada padanya, bukan pangkat yang dipegang atau jawatan yang
disandang semata-mata. Ini amatlah penting dan harus selalu
diingati.
Akhir sekali,
ingin kami bawakan sebab-sebab mengapa pembuat bidaah
selalunya keberatan untuk kembali ke jalan benar :
1) Usaha
untuk berpatah balik mengamalkan semula dengan
peraturan-peraturan syariat adalah sukar bagi seseorang
pembuat bidaah yang telah biasa dengan ikutan hawa nafsu dan
syahwat. Maka ini adalah perkara yang amat berat baginya
kerana yang hak atau kebenaran itu adalah satu tanggungan
yang berat yang memerlukan keikhlasan, kesabaran serta
pengorbanan melawan tarikan hawa nafsu.
2) Pembuat
bidaah sentiasa mempunyai cara pendalilan mereka sendiri
yang mereka yakin bahawa pendalilan mereka itulah cara yang
paling baik yang sebenarnya dikehendaki oleh syarak. Jadi
tidaklah logik bagi pandangan mereka untuk meninggalkan cara
pendalilan mereka itu yang mereka yakin adalah cara
pendalilan yang paling baik serta sesuai denga kehendak hawa
nafsu mereka walau pun bertentangan dengan syarak yang
betul.
3) Pembuat
bidaah juga berusaha keras dalam amalan bidaahnya untuk
menghasilkan kemegahan dunia dari segi kemasyhuran, harta
benda, pangkat, ramai bilangan pengikut dan lain-lain
kehendak syahwat. Ia kononnya "berzuhud" supaya digelar
dialah orang yang paling "zuhud" sekali. Atau pun ia
mengeluarkan sesuatu pemikiran atau amalan supaya dapat
bermegah dengan banyak bilangan pengikut yang taat setia
kepadanya, atau untuk menunjukkan ia lebih bijak dari yang
lain, atau mendapat faedah nikmat keduniaan darinya baik
dari segi kewangan, pangkat, pujian dan lain-lain lagi. Jadi
amatlah payah baginya untuk meninggalkan semua ini kerana
"terpaksa" kembali membuat segala usahanya dengan
benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. serta
menurut kehendak peraturan syarak yang lurus dan tidak
menurut kehendak hawa nafsunya.
Dan
Allah mengetahui yang sebaiknya.
sumber
: www.al-wahidah.com
|