ILMU USUL BIDA`: KAEDAH UNTUK MENGECAM
DAN MENGENALPASTI BID`AH
MUHAMMAD HANIEF AWANG YAHAYA
1.1 Pendahuluan
1.2 Kepentingan dan Objektif Ilmu Usul al-Bida’
1.3
Sumber
dan Hukum Usul al-Bida’
1.4
Hukum
mempelajari
1.5
Karya-karya
utama dalam ilmu ini
1.6
Kewajipan
berpegang dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.
2.o Pentakrifan Bid’ah
2.1 Bid’ah dari segi bahasa
2.2 Bid’ah dari segi istilah
2.3 Mengapa kita pilih
pendekatan yang kedua
2.4 Penggunaan perkataan
bid’ah oleh Sayyidina Umar
2.5 Pembahagian bid’ah
3.0 Prinsip-prinsip tentang
Bid’ah
3.1 Prinsip Pertama: Agama
adalah sempurna. Tidak mungkin ada penambahan
ataupun pengurangan
3.2 Prinsip Kedua: Pahala kerana
ittiba’ bukan ibtida’
3.3 Prinsip Ketiga: Ittiba’
dalam melakukan dan juga meninggalkan
3.4 Prinsip Keempat: Ittiba’ Sahabat sebahagian dari agama
3.5 Perinsip Kelima: Setiap rekaan adalah bid`ah, maka mereka-reka itulah sebab larangan dan penolakan.
1. PENDAHULUAN
Persoalan bid`ah merupakan permasalahan yang terus
menjadi konflik dan polemik dalam masyarakat Islam. Antara puncanya ialah
kekaburan tentang perkara-perkara asas yang berkaitan dengan takrif, hakikat
dan pembahagian serta kayu ukur dalam menentukan bid`ah atau sebaliknya. Begitu
juga masyarakat kurang memahami dan peka akibat buruk yang wujud kerana berleluasanya
perkara-perkara bid`ah.
Golongan berilmu masih lagi tidak menemui titik
persepakatan dalam menyelesaikan persoalan ini menyebabkan masyarakat terus
berada di dalam kebingungan dan serba salah untuk melakukan sesuatu
perkara. Malah yang paling buruk ialah banyak sunnah Rasulullah s.a.w
ditinggalkan dan diabaikan. Dalam menghadapi situasi yang begini rumit merujuk
kembali kepada petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah itulah satu-satu pilihan yang
ada. Dengan cara ini, kita akan mendapati segala-galanya akan terjawab dengan
syarat keinsafan dan keazaman untuk mencari kebenaran tertanam dalam jiwa
pengkaji-pengkaji persoalan bid`ah.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan
taatilah Rasul dan pemimpin-pemimpin dari kalangan kamu. Jika kamu berselisih pendapat
dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu kembalikannya kepada Allah dan
Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya. (al-Nisa’: 59)
Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menjelaskan bahawa wajib mentaati Allah dan Rasul iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah secara mutlak di samping mentaati pemimpin sama ada dari kalangan pemimpin politik atau pemimpin dalam soal ilmu yakni para ulama. Bagaimanapun ketaatan kepada kedua-dua jenis pemimpin ini tidak secara mutlak iaitu dalam batas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika terdapat perkara yang menjadi perselisihan pendapat dalam masyarakat, maka jalan terbaik untuk menyelesaikannya dengan berpandukan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.
Oleh itu, persoalan bid`ah dapat diselesaikan jika kita dapat merujuk kepada dua peninggalan Rasulullah s.a.w. ini dan mengeluarkan kaedah-kaedah yang akan menjadi kayu ukur dan garis panduan dalam mengamalkan Islam supaya tidak tersasar dari Sunnah Rasulullah s.a.w. lalu menyebabkan kita terjerumus di dalam kesesatan bid`ah.
1.2 Kepentingan dan Objektif Ilmu Usul al-Bida`
Berdasarkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, beberapa kaedah atau prinsip telah dibina untuk menyelesaikan persoalan bid`ah. Kaedah ini boleh dinamakan sebagai Ilmu Usul al-Bida`. Ilmu usul al-Bida` atau ilmu tentang prinsip-prinsip bid`ah merupakan ilmu yang baru disusun oleh ulama mutakhir walaupun ianya sudah ada dalam khazanah penulisan ulama yang terdahulu. Halnya sama dengan ilmu usul fiqh. Walaupun dibukukan selepas zaman Imam al-Syafie, ilmu Usul Fiqh sudahpun wujud dan digunakan oleh para sahabat dalam berijtihad dan mengeluarkan fatwa-fatwa. Begitu juga ilmu Fiqh al-Awlawiyyat, walaupun baru dipopularkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi, ilmu ini sudah terdapat asas-asasnya di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan pengamalan generasi terbaik Islam.
Penulisan ini bertujuan untuk menjelaskan prinsip-prinsip atau kaedah-kaedah yang diguna pakai oleh para ulama untuk menilai dan mengukur sesuatu amalan itu bid`ah atau masih dikira sebagai sunnah. Dengan ini, ilmu Usul al-Bida` dapat didefinisikan sebagai ilmu yang membincangkan himpunan kaedah yang membezakan amalan bid`ah dan bukan bid`ah serta amalan yang menyerupainya. Gunanya ilmu ini ialah untuk menegakkan sunnah yang hanya terlaksana apabila bid`ah dapat dihindari dan diberi peringatan. Kepada ahli hukum, di samping ilmu Usul Fiqh dan ilmu Qawa`id Fiqhiyyah, ilmu ini memandunya dalam menentukan dengan jelas kedudukan sesuatu amalan yang timbul dan diamalkan di dalam masyarakat. Begitu juga, ilmu ini amat penting kepada ahli masyarakat dalam mendakwahkan dan melaksanakan hukum Islam.
Dengan menguasai ilmu ini, masyarakat berupaya untuk menjalani kehidupan ini benar-benar berlandaskan wahyu dan Sunnah Rasulullah s.a.w. seterusnya mendapat keberkatan Allah s.w.t.
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
Jikalau
sekiranya penduduk negeri-negri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada meerka keberkatan dari langit dan
bumi. (al-A`raf:
96)
Keimanan dan ketaqwaan hanya akan sempurna apabila adanya ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya iaitu dengan mengikuti Sunnah dan menjauhi bid`ah.
Selain itu, dengan memahami ilmu dengan jelas, masyarakat akan tetap terus berada di atas petunjuk dan hidayat serta berpegang teguh dengan tali Allah yang sangat kukuh. Dengan itu, tidak akan ada lagi perpecahan dan perselisihan pendapat. Allah s.w..t berfirman:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Hendaklah kamu sekalian berpegang teguh dengan tali
Allah dan janganlah berpecah belah. (Al `Imran: 103)
1.3 Sumber Ilmu Usul al-Bida`
Ilmu ini disusun berdasarkan kepada prinsip-prinsip kulli yang terkandung di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah di samping penghayatan dan pengamalan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.
1.4 Hukum Mempelajari
Ilmu ini wajib dipelajari oleh setiap ahli hukum dan sesiapa sahaja yang terlibat dan berperanan dalam masyarakat seperti para imam dan pemimpin masyarakat. Kepada umat Islam secara keseluruhan, ilmu ini adalah fardu kifayah. Namun jika tidak ada seorangpun mempelajarinya maka hukumnya menjadi fardu `ain sehinggalah ada yang mempelajarinya.
1.5. Karya-Karya Utama Dalam Ilmu Ini
Orang yang pertama yang memperincikan perbahasan tentang prinsip-prinsip bid`ah ialah Imam al-Syatibi. Beliau telah menulis dua buah kitab, al-I`tisam dan al-Muwafaqat. Kitab al-I`tisam merupakan rujukan asasi bagi pengkaji-pengkaji untuk mengetahui persoalan bid`ah yang berlaku dalam masyarakat.
Penulisan yang lain ialah `Ilmu Usul Fiqh al-Bida`Dirasah Takmilah Muhimmah Fi Ilm Usul al-Fiqh, karangan Hasan Ali al-Athari.
Usul fi al-Bida` wa al-Sunan tulisan Muhammad Ahmad al-`Adawi yang merupakan ringkasan kepada kitab al-I`tisam. Kitab ini menghimpunkan sebelas kaedah-kaedah tentang bid`ah.
Usul al-Sunnah Fi Radd al-Bid`ah karangan Muhammad Tahir. Beliau telah mengemukakan dua puluh kaedah bagi mengenalpasti bid`ah.
1.6 Kewajipan Berpegangan Dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. telah lengkap dan sudah mencukupi untuk memandu seseorang hamba untuk memperolehi keredhaan Allah s.w.t dan selamat dari kemurkaanNya. Setiap bentuk ibadat telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat dan mereka pula mengajarkannya kepada generasi seterusnya. Mengamalkan agama sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda merupakan sunnah dan meninggalkannya pula adalah derhaka.
Tetapi malangnya berlaku bermacam fitnah terutamanya setelah kewafatan Sayyidina Uthman r.a. khalifah Islam yang ketiga. Musuh-musuh Islam mengimport pelbagai fahaman dan konsep baru yang bercanggah dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Perkara-perkara baru ini dinamakan bid`ah kerana kewujudannya itu adalah bertentangan dengan sunnah.
Bid`ah ialah satu perkara baru yang tidak pernah diamalkan oleh sahabat dan para tabi`in malah tidak dituntut oleh dalil syara` dan ia merupakan perbuatan yang bercanggah dengan sunnah. Apabila disebutkan sunnah maka lawannya adalah bid`ah sebagaimana syirik lawan bagi tauhid. Tauhid bererti kesempurnaan kesaksian seseorang terhadap keesaan Allah manakala sunnah bermakna kesempurnaan kesaksian terhadap kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, syirik dan bid`ah merupakan ancaman yang sangat berbahaya terhadap syahadah seorang muslim.
Banyak ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang memerintahkan kita supaya berpegang teguh dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan berwaspada terhadap rekaan dalam agama. Antara ayat-ayat tersebut ialah:
وأن هذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Sesungguhnya ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka
ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana
jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikian itu
diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa. (al-An`am: 153)
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبونَ اللَّهَ فَاتَّبعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah:
“Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, pasti Allah mengasihi dan
mengampuni dosa-dosamu. Allah maha pengampun lagi maha
penyayang.” (Ali `Imran:
31)
عن جابر بن عبد الله قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا خطب احمرت عيناه وعلا صوته واشتد غضبه حتى كأنه منذر جيش يقول : صبحكم ومساكم . ويقول : بعثت أنا والساعة كهاتين ، ويقرن بين إصبعيه السبابة والوسطى . ويقول أما بعد فإن خير الحديث كتاب الله وخير الهدي هـدى محـمـد وشر الأمـور محدثاتها وكل بدعة ضلالة ) رواه مسلم
Daripada
Jabir bin Abdullah katanya: “Rasulullah s.a.w. apabila berkhutbah, matanya
menjadi merah, suaranya menjadi tinggi seolah-olah seperti ketua yang memberi
peringatan kepada tenteranya: Waspadalah pada waktu pagi dan petang (sentiasa
berjaga-jaga). Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan dalam
keadaan kiamat sangat hampir berlaku seperti dua jari ini. Baginda
merapatkatkan jari tengah dan jari telunjuknya. Baginda bersabda lagi:
Sesungguhnya sebaik-baik ucapan ialah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk ialah
petunjuk Muhammad dan kejahatan yang paling buruk ialah perkara-perkara rekaan
dan setiap bid`ah itu sesat.” (hadis riwayat Muslim)
وعن عبد الله بن مسعود قال :[ خطَّ لنا رسول الله صلى الله عليه وسلم يوماً خطاً ثم قال : هذا سبيل الله ثم خطَّ خطوطاً عن يمينه وعن شماله ثم قال : هذه سبل على كل سبيل منها شيطان يدعو إليه ثم قرأ :( وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ )) الآية ، رواه الدارمي وأحمد والنسائي
Daripada
Abdullah bin Mas`ud katanya: “Pada suatu hari Rasulullah telah membuat satu
garis sambil bersabda: Ini adalah jalan Allah. Kemudian baginda membuat
beberapa garisan di sebelah kanan dan kiri garis tadi dan bersabda: Ini adalah
beberapa jalan yang masing-masing mempunyai syaitan yang menyeru kepadanya.
Kemudian baginda membaca ayat: “Sesungguhnya ini adalah jalan-Ku yang lurus,
maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana
jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikian
itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa.” (al-An`am: 153)
(hadis
riwayat al-Darimi, Ahmad dan al-Nasa’i)
وعن أبي شريح الخزاعي قال :( خرج علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : أليس تشهدون أن لا إله إلا الله وأني رسول الله ؟ قالوا : بلى . قال : إن هذا القرآن طرفه بيد الله وطرفه بأيديكم فتمسكوا به فإنكم لن تضلوا ولن تهلكوا بعده أبداً ) رواه الطبراني في الكبير بإسناد جيد.
Daripada
Abu Syuraih al-Khuza`I katanya: Rasulullah s.a.w. keluar menemui kami seraya
bersabda: Tidakkah kamu menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan saya
ini pesuruh Allah? Mereka menjawab: Ya, benar sekali. Baginda bersabda lagi:
Sesungguhnya al-Qur’an ini, satu hujungnya pada Tangan Allah dan satu lagi pada
tangan kamu. Oleh itu, hendaklah kamu berpegang teguh dengannya kerana kamu
tidak akan sesat dan binasa selepasnya buat
selama-lamanya. (hadis riwayat al-Tabarani di dalam
al-Mu`jam al-Kabir dengan sanad yang jayyid.
2. PENTAKRIFAN BID`AH
2.1 Bid`ah Dari Segi Bahasa
Perkataan bid`ah dari segi bahasa berasal daripada kata kerja بدع iaitu mencipta. Daripada kata kerja ini terbit perkataan-perkataan lain, أبدع memulakan penciptaan sesuatu, ابتدع mengadakan suatu cara yang belum pernah diadakan oleh orang lain dan بدع yang pertama.
Imam al-Nawawi mengatakan: Bid`ah ialah mengadakan
sesuatu yang tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w.[1]
Jika diperhatikan, pendekatan mereka dalam mengemukakan
takrif bid`ah adalah lebih kepada pentakrifan bahasa bukan kepada istilah
syara`. Takrif mengikut pendekatan pertama ini sangat luas merangkumi urusan
ibadat dan bukan ibadat, serta urusan dunia dan akhirat. Bagi menyempitkan skop
yang luas itu al-`Izz Ibn Abd al-Sallam terpaksa membahagikan bid`ah kepada
wajib, sunnat, haram dan lain-lain sedangkan itu adalah pembahagian hukum
syara` bukan pembahagian bid`ah menurut istilah syara`.
Pendekatan kedua, bid`ah itu hanya dikatakan kepada
perkara yang menyalahi sunnah. Pendekatan ini diambil oleh al-Syatibi, Ibn
Hajar al-`Asqalani, Ibn Hajar al-Haithami, Ibn Rajab, Ibn Taymiyyah dan
al-Zarkasyi.
Al-Syatibi memberikan takrif bid`ah sebagai satu cara
yang direka di dalam agama menyerupai dengan syariat, melakukannya dengan tujuan
untuk berlebih-lebih dalam beribadat kepada Allah s.w.t.
Oleh kerana takrif ini tidak memasukkan beberapa adat
sebagai bid`ah pada pandangan sebahagian ulama, beliau memberikan satu lagi
takrif. Beliau menyebut: Bid`ah ia satu jalan yang direka di dalam agama
menyerupai dengan syariat, melakukannya dengan tujuan untuk memperolehi sama
dengan melakukan dengan cara syariat.[2]
Ibn Taymiyyah pula mendefinisikan bid`ah sebagai pekara
yang tidak disyariatkan oleh Allah s.w.t. dan RasulNya, ia tidak pula disuruh
dengan perintah wajib ataupun sunat. Definisi-definisi lain yang diberikan oleh
para ulama semuanya mengandungi makna yang sama dengan kedua-dua takrif ini
iaitu merujuk kepada rekaan di dalam agama dan dianggap sebagai ajaran agama.
Dengan ini dapat difahami bahawa sesuatu yang baru atau
yang direka bukanlah bid`ah jika ia tidak diiktikad sebagai agama seperti
pakaian, peralatan-peralatan rumah dan makanan selagi tidak diharamkan syara`.
2.3 Mengapa Kita Memilih Pendekatan Yang Kedua
Takrif yang dikemukakan oleh Imam Syatibi dan ulama yang
sependapat dengannya adalah lebih kuat selaras dengan kaedah syara’ kerana
penggunaan perkataan bid`ah di dalam hadis-hadis khusus kepada perkara
yang bertentangan dengan dalil-dali syara’.
Apabila Rasulullah s.a.w. menyatakan setiap rekaan itu
bid`ah, dan setiap bid`ah itu sesat maka itu adalah menggunakan istilah syara`.
Tambahan pula tujuan Rasulullah s.a.w. ialah untuk mengajarkan hukum syara`
bukan hukum bahasa. Oleh kerana itu lafaz al-Solat, walaupun asalnya adalah
berdoa, tetapi makna asalnya tidak digunakan oleh Rasulullah s.a.w. Lafaz
al-Solat pada istilah syara` ia adalah ibadat yang dimulakan takbir al-Ihram
dan disudahi dengan salam.
Di dalam nas-nas syara`, apabila diungkapkan perkataan
bid`ah ia pasti memberi pengertian sesuatu yang tercela dan mesti dijauhi. Ini
menunjukkan bid`ah itu dengan makna istilah bukan dari segi penggunaan asal bahasa.
2.4 Penggunaan Perkataan Bid`ah Oleh Sayyidina Umar
Perkataan bid`ah itu adakalanya dipakai dengan erti
bahasa sebagai pernah disebutkan oleh Sayyidina Umar tentang menghimpunkan
orang ramai dengan satu imam bagi sembahyang terawih. Perkataan bid`ah yang
digunakan oleh beliau adalah dari segi penggunaan bahasa bukan satu istilah
syara`.
Sembahyang terawih itu asalnya sunnah, dan Sayyidina Umar
menghimpunkannya dengan satu imam boleh dianggap perbuatan yang baru dan beliau
mengatakan itu adalah sebaik-baik bid’ah. Itu tidak lain sebagai tanda rendah
dirinya beliau. Sedangkan perbuatan beliau itu tetap sunnah iaitu sunnah para
khulafa’.
2.5 Pembahagian Bid`ah
Secara asasnya bid`ah boleh dibahagikan kepada beberapa
bahagian berdasarkan kepada pelbagai sudut. Dari sudut anggota yang terlibat,
bid`ah terbahagi kepada bid`ah i`tiqad, bid`ah pada ucapan dan bid`ah pada
perbuatan. Ini kerana perbuatan seseorang itu tidak lari dari tiga bentuk,
iktikad, ucapan dan perbuatan yang masing-masing berpunca daripada hati, lidah
dan anggota-anggota fizikal yang lain. Bid`ah i`tikad seperti
bentuk syirik, tidak beriman dengan takdir. Bid`ah ucapan pula seperti
wirid-wirid untuk hari dan bulan tertentu, wirid-wirid yang mengandungi lafaz
syirik dan bacaan jampi yang berunsur syirik. Manakala bid`ah perbuatan
mengadakan kenduri sempena kematian, menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w.
dan sebagainya. Bid`ah juga dibahagikan kepada bid`ah mukaffirah dan bid`ah
mufassiqah. Pembahagian ini didasarkan kepada kesan yang diperoleh pelaku
bid`ah iaitu membawa kepada kekufuran atau menjadikannya fasiq.
Berdasarkan kepada bentuk amalan, bid`ah terbahagi
kepada dua iaitu bid`ah haqiqiyyah dan idhafiyyah. Bid`ah haqiqiyyah iaitu bid`ah
yang sama sekali tidak ada dalil syara`. Bid`ah idhafiyyah pula bermaksud
bid`ah yang secara asas mempunyai sandaran atau dalil syara` tetapi tidak
mempunyai dalil tentang, tertib, waktu dan cara kaifiyatnya.
3. PRINSIP-PRINSIP TENTANG BID`AH
3.1. PRINSIP PERTAMA:
AGAMA
ADALAH SEMPURNA TIDAK MUNGKIN
Allah s.w.t. berfirman:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agama
kamu dan telah Ku-cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku telah reda Islam itu
menjadi agama kamu. (al-Maidah: 3)
Dalam menafsirkan ayat ini, Ibn Kathir menulis: Ini merupakan antara nikmat Allah s.w.t yang paling besar kepada umat ini iaitu Dia telah menyempurnakan agama untuk mereka dengan itu mereka tidak perlu kepada agama lain dan juga tidak perlu kepada nabi-nabi yang lain. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai penutup sekalian nabi (khatim al-anbiya’). Allah s.w.t. mengutuskan baginda untuk sekalian manusia dan jin, maka tidak ada yang halal melainkan apa yang dihalalkannya, tidak ada yang haram kecuali apa yang diharamkannya dan tidak ada agama kecuali apa yang disyariatkannya.[3]
Ibn al-Qayyim menulis: “Ini merupakan salah satu prinsip yang paling penting dan bermanfaat iaitu keumuman risalah Rasulullah s.a.w. meliputi setiap perkara yang diperlukan oleh manusia sama ada ilmu pengetahuan dan amalan dan manusia tidak memerlukan kepada orang lain setelah kewafatan baginda. Orang yang diperlukan manusia ialah mubaligh-mubaligh yang menyampaikan ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w. Dengan itu ada dua keumuman bagi risalah baginda yang terpelihara dari sebarang kekhususan. Pertama keumuman yang merangkumi semua manusia yang baginda diutuskan kepada mereka dan kedua, keumuman yang meliputi prinsip-prinsip agama dan cabang-cabangnya. Oleh itu risalah atau pengutusan Rasulullah bersifat sempurna, mencukupi dan meliputi. Mana-mana risalah tidak diperlukan melainkan risalah baginda. Keimanan dengan Rasulullah s.a.w. tidak akan sempurna tanpa mensabitkan keumuman risalah baginda dalam dua aspek tersebut. Tidak ada seorang mukallaf pun yang terkeluar dari hukum kerasulan baginda. Kebenaran yang diperlukan oleh ummat sama ada ilmu pengetahuan atau amalan tidak terkeluar daripada ajaran yang dibawa oleh baginda.”[4]
Penambahan yang berlaku setelah Allah s.w.t. menyempurnakan agamaNya bukan dikira sebagai agama. Mula Ali al-Qari berkata: Di dalam urusan agama kita tidak memerlukan kepada perkara yang di luar daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah s.w.t. berfirman:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Apakah mereka mepunyai sekutu-sekutu selain Allah
yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan
yang menentukan (dari Alllah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan
sesungguhnya orang yang zalim itu akan memperoleh azab
yang amat pedih. (al-Syura: 21)
Allah s.w.t. menempelak mereka yang mencampuri urusanNya dengan bertindak mensyariatkan sesuatu ibadat baru.
Rasulullah s.a.w. telah wafat dalam keadaan telah menyempurnakan tugasnya untuk menjelaskan perintah-perintah Allah kepada manusia. Baginda bersabda:
تركتكم على بيضاء نقية ليلها كنهارها لا يزيغ عنها إلا هالك ( الترمذي وأبوداود والحاكم)
Aku
telah tinggalkan kamu dalam keadaan yang terang benderang, malamnya seperti
siang. Tidak seorangpun yang melencong daripadanya kecuali akan
binasa.
Allah s.w.t. melarang ahli kitab daripada bersikap melampau dalam beragama. Di samping tauhid yang suci mereka telah menambah dua lagi sebagai tuhan. Perbuatan syirik ini mengundang kemurkaan Allah. Penambahan dalam agama akan membawa kepada sikap melampau berbeza dengan mereka yang menuruti sahaja perintah Allah s.w.t. seperti yang diajar oleh para rasul dengan menjauhi perbuatan bid`ah. Penambahan, melampau dalam beragama dan mereka-reka adalah semakna, semuanya dilarang dan wajib dijauhi.
Dalam riwayat Ibn `Abbas bahawa Rasullulah s.a.w. bersabda pada pagi `Aqabah dalam keadaan menunggang unta:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ؛ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، غَدَاةَ الْعَقَبَةِ. وَهُوَ عَلَى نَاقَتِهِ ((اُلْقُطْ لِي حَصَى)) فَلَقَطْتُ لَهُ سَبْع حَصَيَاتٍ، هُنَّ حَصَى الْخَذْفِ. فَجَعَلَ يَنْفُضُهُنَّ فِي كَفِّهِ وَيَقُولُ ((أَمْثَالَ هؤُلاَءِ فَارْمُوا)) ثُمَّ قَالَ ((يَا أَيُّهَا النَّاسُ! إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ، فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوَّ فِي الدِّينِ)).
Daripada
Ibn Abbas, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kutipkan untuk saya anak-anak
batu. Maka sayapun mengutip untuk baginda tujuh biji anak batu dari jenis
al-khazaf lalu baginda mengenggamnya seraya bersabda: dengan seperti ini
hendaklah kamu melontar. Kemudian baginda bersabda lagi: Wahai manusia! Waspadalah kamu dengan sikap melampau di dalam agama. Sesungguh orang-orang dahulu telah binasa kerana sikap melampau di dalam
agama.”[5]
Ringkasnya, agama ini sudah sempurna dan Allah telah menjaganya dari sebarang penambahan dan pengurangan berbeza dengan syariat-syariat terdahulu yang telah berubah disebabkan oleh tangan-tangan yang meminda-minda dengan memasukkan sesuatu perkara di samping membuang perkara yang lain. Oleh itu, tidak harus menambahkan di dalam syariat sama ada ucapan atau perbuatan selagi tidak ada nas dari al-Qur’an dan hadis yang sahih.
Ibadat-ibadat yang telah disyariatkan untuk manusia sudah cukup dan memadai untuk mereka, kerana Allah telah menyempurnakan agama ini dan menjadikannya lengkap untuk selama-lamanya. Secara mudah dapat difahami bahawa penambahan setelah ada penyempurnaan bererti masih ada kekurangan. Ini bermakna orang yang menambahkan sesuatu di dalam agama beranggapan agama masih lagi belum sempurna. Anggapan ini tentu sekali menyalahi firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Ma’idah:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agama
kamu dan telah Ku-cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku telah reda Islam itu
menjadi agama kamu. (al-Maidah: 3)
يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ
Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan
kepada kamu oleh Tuhanmu. Jika kamu tidak laksanakan (apa yang diperintahkan
itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu dari
(gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang
kafir. (al-Maidah:
67)
Al-Hakim meriwayatkan sebuah hadis di dalam al-Mustadrak:
عن بن مسعود أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ليس من عمل يقرب إلى الجنة إلا قد أمرتكم به ولا عمل يقرب إلى النار إلا قد نهيتكم عنه
Daripada Ibn Mas`ud bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda tidak ada satu amalan yang mendekatkan kepada syurga
melainkan aku telah menyuruh kamu melakukannya dan tidak ada amalan yang
mendekatkan kepada neraka melainkan aku telah melarang kamu dari melakukannya.[6]
وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ. صِرَاطِ اللَّهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ
Dan sesungguhnya kamu ( wahai
Muhammad) benar-benar memberi petunjuk ke jalan yang lurus. Iaitu
jalan Allah yang milikNya segala yang di langit dan yang di bumi. (al-Syura:
52-53)
Perbahasan di dalam kitab-kitab usul menyebutkan bahawa sesuatu perbuatan dikira sebagai baik atau buruk diketahui melalui jalan syarak dan bukan melalui akal. Setiap perbuatan yang diperintahkan oleh Allah adalah baik dan perbuatan yang dilarangNya adalah buruk. Apabila sesuatu perbuatan yang dikatakan sebagai ibadat itu tidak disyariatkan oleh Allah s.w.t bermakna ia tidak baik.[7]
Ibn Taymiyyah berkata: “Kematian sunnah berlaku sama ada dengan sebab penambahan atau pengurangan.”[8]
Sebagai kesimpulan, orang yang menganggap baik beberapa amalan bid`ah tanpa disedari atau secara tidak langsung mendakwa agama belum sempurna dan tidak cukup. Dengan itu, ayat 3 surah al-Maidah tidak membawa sebarang pengertian. Jika begitu, ahli bid`ah, sama ada melalui ucapannya atau tindak tanduknya menggambarkan bahawa dalam syariat Islam ada yang tertinggal dan patut ditambah beberapa perkara yang baik untuk umat ini.
Oleh kerana itu, Imam Malik menegaskan: “Sesiapa yang mencipta dalam Islam satu bid`ah yang dianggapnya baik sesungguhnya dia telah mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah Islam kerana Allah s.w.t. berfirman:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada hari ini telah Kusempurnakanuntuk kamu agama
kamu dan telah Ku-cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku telah reda Islam itu
menjadi agama kamu. (al-Maidah: 3)
Oleh itu, jika pada ketika sesuatu perkara tidak menjadi agama maka pada hari ini juga ia bukan agama.”[9]
Tidakkah Allah s.w.t. menegaskan:
أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ يُتْلَى عَلَيْهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَرَحْمَةً وَذِكْرَى لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Dan
apakah tidak cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepada kamu
al-Al-Qur’an sedang dibacakan kepada mereka. Sesungguhnya di dalamnya
(al-Qur’an) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang
beriman. (al-Ankabut: 51)
3.2 PRINSIP KEDUA:
PAHALA KERANA ITTIBA` BUKAN DALAM IBTIDA`
Maksud kaedah ini ialah sesuatu amalan yang dilakukan oleh seseorang itu akan diterima apabila dilakukan dengan mengikuti petunjuk Rasulullah s.a.w. (mengikuti sunnah). Sebaliknya jika sesuatu amalan itu merupakan ibtida` atau rekaan, iaitu sama ada langsung tidak ada dalil syara` atau bercampur antara ada dalil syara` tetapi cara dan kaifiyatnya tidak ada dalil maka itu tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Tegasnya, ibadat hanya akan diterima apabila adanya ikhlas dan menepati syariat.
Kaedah ini menjelaskan dua syarat yang mesti dipenuhi supaya amal ibadah diterima dan memperoleh pahala dari Allah s.w.t. iaitu melakukan semata-mata kerana Allah demgan mengharapkan keredaan-Nya dan mengikuti syariat-Nya iaitu seperti yang diajarkan dan dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w.
Taat kepada Allah dan RasulNya merupakan tuntutan iman yang
akan membuahkan pahala di akhirat. Mentaati Allah dan Rasul bererti mengikuti
petunjuk yang terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dengan sepenuh hati.
Taat kepada Allah sahaja tanpa taat kepada Rasulullah
s.a.w. tidak sempurna kerana Allah s.w.t. mensyaratkannya di dalam beberapa
ayat antaranya:
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَاحْذَرُوا فَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا عَلَى رَسُولِنَا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul-Nya dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang. (Al-Maidah: 92)
مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ
Barang siapa mentaati Rasul itu, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. (al-Nisa’: 80)
Ancaman jika tidak mengikuti Rasul iaitu menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w.
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maka
hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan
ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih. (Al-Nur: 63)
Dalam menafsirkan ayat 7 surah Hud
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً
Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dan Arsy-Nya di atas air, agar Dia menguji siapakah di anatara kamu yang lebih baik amalannya.
Ibn Kathir menulis: “Allah s.w.t tidak mengatakan paling banyak amalan tetapi paling baik amalan. Amalan itu tidak akan menjadi baik sehinggalah ia ikhlas kerana Allah s.w.t. dan mengikut syariat Rasulullah s.a.w. Bila sahaja tidak ada dua syarat ini maka amalan itu terhapus dan batal.”[10]
Abdul Rahman bin al-Nasir al-Sa`di menukilkan daripada al-Fudhail bin Iyadh[11] katanya ketika mentafsirkan ayat ini: “Iaitu yang paling ikhlas dan paling tepat.” Beliau ditanya: “Apakah maksudnya itu?” Jawabnya: “Sesungguhnya amalan itu jika ikhlas tetapi tidak tepat tidak akan diterima. Jika tepat tetapi tidak ikhlas juga tidak terima, sehinggalah amalan itu ikhlas dan tepat. Ikhlas itu ialah kerana Allah dan tepat itu dengan mengikuti syariat dan sunnah.” Ini seperti firman Allah s.w.t.
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Aku
tidak jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat
kepada-Ku. (Al-Zariyat: 56)
Oleh kerana itu, hadis tentang niat dan hadis tentang larangan mengadakan sesuatu dalam agama merupakan paksi bagi penerimaan sesuatu amalan. Hadis-hadis tersebut ialah:
عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: "إنما الأعمال بالنيات. وإنما لكل امرئ ما نوى. متفق عليه.
Daripada
Umar bin al-Khattab r.a katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya amalan itu dengan niat, setiap orang akan memperolehi apa yang
diniatkannya.(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
عن عائشة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه – وفي رواية: من عمل عملاً ليس عليه أمرنا – فهو رد" متفق عليه.
Daripada `Aishah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak. Dalam satu riwayat yang lain: Sesiapa yang melakukan satu amalan yang bukan dari ajaran kami, maka ia adalah tertolak. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
وعن أبي هريرة قال: قال رسول الله: إن الله تعالى قال: من عاد لي وليا، فقد آذنته بالحرب، وما تقرب إلى عبدي بشيء أحب إلي مما افترضته عليه، ولا يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه رواه البخاري.
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda Sesungguhnya
Allah s.w.t. berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku maka Aku isytiharkan
perang terhadapnya. Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan
melakukan sesuatu amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang aku fardukan kepadanya. Dan
tidaklah seorang hamba itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan
mengerjakan amalan-amalan sunnat sehingga Aku mencintainya.
Hadis ini menyatakan bahawa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan salah satu dari dua cara iaitu amalan fardu atau amalan nafil. Sesuatu amalan sama ada fardu atau nafil mestilah dibuktikan berdasarkan kepada dalil syara`. Ibadat yang dikatakan ada oleh sesetengah pihak tetapi tidak mempunyai apa-apa sandaran, maka kita katakan itu bid`ah kerana tidak ada dalil yang menunjukkan kedudukannya sebagai ibadat.[12]
Seorang hamba yang melakukan amal ibadat yang melengkapi kedua-dua syarat ini termasuk dalam kandungan ayat tentang orang-orang yang berbuat kebajikan:
وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا
Dan
siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan
dirinya kepada Allah, sedangkan dia mengerjakan kebaikan dan mengikuti agama
Nabi Ibrahim yang lurus dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya. (Al-Nisa’: 125)
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآَتُوا الزَّكَاةَ وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikankanlah zakat. Dan
apa sahaja kebaikan yang kamu usahakan untuk dirimu, tentu kamu akan mendapat
pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah maha melihat apa-apa yang kamu
kerjakan. (Al-Baqarah:110)
3.2.1 Kepentingan Ittiba` Sunnah
Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam menulis: Kebahagian itu semuanya dalam mengikuti Syariat dalam semua perkara dan mengenepikan hawa nafsu apabila bertentangan dengan Syariat. Sesungguhnya Allah telah berfirman:
فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَى
Maka
barang siapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak akan
sesat dan tidak akan celaka.
(Taha: 123)
Yakni tidak akan tersesat di dunia daripada kebenaran dan tidak akan celaka di akhirat dengan diazab. Ketika mentafsirkan ayat 3, surah al-A`raf, Ibn Abbas berkata: “Kebaikan semuanya di dalam ketaatan dan kejahatan itu semuanya di dalam menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah. Oleh kerana itu, al-Qur’an datang dengan menyuruh melakukan ketaatan tidak kira apa bentuknya, kecil, besar, banyak, sedikit, penting dan remeh.[13]
Kitab al-Mawahib al-Laduniyyah menyebutkan bahawa kecintaaan kepada Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa tanda. Tanda yang paling besar ialah mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w., mengamalkan sunnahnya, berpegang dengan petunjuknya dan sirahnya.[14]
3.3 PRINSIP KETIGA:
ITTIBA` DALAM MELAKUKAN DAN JUGA MENINGGALKAN
Maksud prinsip ini ialah erti mengikut sunnah
merangkumi melakukan perbuatan dan perkara yang dilakukan oleh Rasulullah
s.a.w. dan juga meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh baginda. Prinsip ini
didasarkan kepada pembahagian sunnah kepada sunnah fi`liyyah iaitu sunnah yang
dikerjakan oleh Rasulullah dan sunnah tarkiyyah iaitu perkara yang tidak
dikerjakan oleh baginda. Tegasnya kita wajib mengikuti sunnah fi`liyyah dan
juga sunnah tarkiyyah
Dengan itu, setiap ibadat yang didakwa tidak
disyari`atkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabdaannya dan baginda tidak
menjadikannya sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah maka itu adalah
bercanggah dengan sunnah. Jika Rasulullah tidak mengambil satu cara atau satu
perbuatan sebagai sunnahnya maka perbuatan kita tidak melakukan perbuatan
tersebut adalah sunnah. Sebaliknya jika kita mengambil inisiatif melakukannya
kita dikira sebagai menyalahi sunnah dan membuat bid`ah. Amalan tidak boleh
dianggap sebagai mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala dari-Nya
kecuali perbuatan yang diakui oleh syari`at sebagai ibadah. Contohnya, azan
bagi sembahyang dua hari raya dan juga ketika pengkebumian mayat tidak
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sebagaimana kita wajib mengikut baginda
dalam melakukan sunnah fi`liyyah, begitu juga kita wajib meninggalkan apa
yang ditinggalkan baginda.
Konsep dan kaedah ini sememangnya difahami oleh para sahabat dengan jelas. Oleh kerana itu, mereka tidak berani mengadakan satu bentuk ibadat pun kecuali apa yang telah ditunjukkan oleh baginda.
3.3.1 Dalil-Dalil Prinsip Ini
Allah s.w.t. memerintahkan orang-orang beriman supaya berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan mereka juga diperintahkan supaya menjauhi perkara yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.
وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا