www.darulkautsar.com: Alasan! Alasan!

Sukar agih amah ikut agama’

KUALA LUMPUR: Pembahagian pembantu rumah asing bekerja dengan majikan mengikut kaum dan agama sukar dilaksanakan kerana kebanyakan mereka yang dibawa masuk ke negara ini beragama Islam, terutama dari Indonesia.

residen Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata kerajaan memang menyediakan peraturan menetapkan pembantu rumah Islam bekerja dengan majikan Islam serta peraturan yang perlu diikuti majikan terbabit.

Bagaimanapun, katanya mereka juga boleh bekerja dengan majikan bukan Islam dengan syarat majikan tidak menghalang pembantu rumah terbabit menjalankan ibadat seperti sembahyang, berpuasa dan tidak memaksa melakukan kerja haram di sisi Islam.

"Sukar untuk agih pembantu rumah mengikut agama dan kaum kerana kebanyakan pembantu rumah terbabit beragama Islam dari Indonesia manakala 80 peratus majikan adalah bukan Islam.

"Mungkin pada masa depan langkah ini boleh dilaksanakan jika kerajaan membuka pasaran pengambilan pembantu rumah dari China," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kes penderaan seorang pembantu rumah Indonesia yang dikenali Lilis, 27, semalam yang mendakwa terpaksa melarikan diri selepas dipaksa majikannya menyediakan sup daging babi sepanjang tempoh empat bulan bekerja di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

Kelmarin, seorang pembantu rumah berusia 33 tahun dikenali Samerin juga dipercayai mangsa dera cuba melarikan diri daripada majikannya dengan keluar menerusi tingkap kondominium di tingkat 16 dengan mengikat beberapa pakaiannya untuk dijadikan tali, di Sentul Indah, dekat sini.

Raja Zulkepley berkata, apa yang penting majikan menghormati tuntutan Islam jika mereka menggunakan pembantu rumah beragama Islam.

Sumber: Berita Harian ( 19 Jun 2007)