Cubaan hidupkan ajaran Banuar Bikini dikesan

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

KLANG: Ajaran Banuar Bikini diasaskan Banuar Roslan dan diharamkan Kerajaan Selangor tujuh tahun lalu kerana mencampuradukkan amalan kebatinan dengan agama, dipercayai cuba dihidupkan semula di Johor dan Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Belia dan Mesra Rakyat, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata berdasarkan maklumat, ada pengikut mengamalkan ilmu ghaib untuk mengubat pesakit cuba menghidupkan semula ajaran itu.

Katanya, selepas ajaran itu diharamkan, Banuar dikenakan tindakan buang daerah ke Pontian, Johor pada 2002.

"Saya akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa dua negeri itu untuk memastikan kebenaran dakwaan ini," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi merobohkan rumah yang ditinggalkan pengikut ajaran Banuar Bikini dan struktur bangunan berbentuk kapal yang dibina pengikut ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh) di Meru, dekat sini, semalam.

Operasi disertai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan polis.

Banuar mengamalkan ajaran itu dengan meminta pengikutnya menyalurkan wang sebagai pengorbanan, selain mendakwa mampu menyembuhkan penyakit tetapi hanya untuk wanita saja.

Beliau juga mengaku menerima ilmu Laduni terus daripada Allah ketika mengerjakan haji dan perubatan tradisional dijalankan banyak mengandungi unsur gangguan seksual.

Bagi ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh) yang diasaskan Sulaiman Mohd Said dan diharamkan pada 1998, Abdul Rahman yakin ajaran itu lumpuh sepenuhnya kerana tiada aduan cubaan menghidupkannya semula.

Ajaran itu yang ditubuhkan pada 1989 itu diharamkan kerana pengasasnya yang mendakwa sebagai Nabi Isa meramalkan berlaku banjir besar di Lembah Klang lalu membina bangunan berbentuk kapal mengikut suruhan Nabi Noh dan menuduh ulama negara tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Abdul Rahman berkata, pada awalnya, ajaran Sulaiman menggunakan nama Syarikat Shah WTC bermodalkan RM2.5 juta dengan mendakwa bertujuan membangunkan ekonomi Islam sedunia.

Katanya, syarikat itu menghasilkan kraf tangan daripada bahan terbuang seperti tempurung kelapa dan tunggul kayu dengan menjanjikan keuntungan berbilion-bilion ringgit, tetapi setiap ahli perlu membayar RM2,000 untuk menyertai kumpulan itu.

Katanya, Sulaiman yang tidak pernah mendapat pendidikan agama meninggal dunia pada 1992 dan kumpulan itu diambil alih isterinya, Hawa Hassan.

Ditanya mengapa pihak berkuasa mengambil masa untuk merobohkan bangunan dan rumah yang dibina pengikut ajaran sesat itu, Abdul Rahman berkata, tindakan itu perlu dibuat mengikut undang-undang dan melalui banyak proses, antaranya kebenaran pemilik tanah.

Sumber: Berita Harian ( 29 Jun 2007 )